JERANTUT: Tradisi bantuan Ramadan kepada golongan memerlukan diteruskan di Felda Jengka 24 di sini tahun ini selepas ia mula dilaksanakan sejak 15 tahun lalu.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, bermula semalam, beliau sudah mula mengagihkan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada surau dan penduduk yang layak.
“Pengagihan sumbangan ini sudah menjadi rutin tahunan setiap kali bulan Ramadan dan tahun ini ia diteruskan seperti biasa.
“Kebetulan saya baharu dipilih semula sebagai ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut pada Sabtu lalu, jadi saya teruskan apa yang sudah dilakukan pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Razak berkata, pengagihan sumbangan itu sebagai tanda bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berkongsi rezeki dengan penduduk yang kurang berkemampuan dan layak menerima bantuan.
Katanya, proses pemilihan penerima dilakukan secara telus dengan bantuan pemimpin setempat.
“Senarai (penerima) memang kita sudah ada dan pemilihan dibuat dengan teliti dan telus, mereka yang layak akan menerima sumbangan.
“Saya harap bantuan ini dapat membantu mereka menjelang kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya. – UTUSAN