Tiga `transporter’, 15 orang PATI dicekup JIM

Tiga `transporter’, 15 orang PATI dicekup JIM

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di sekitar Gua Musang dan Jeli, Kelantan.-UTUSAN/IHSAN JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan manusia apabila menahan tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘Transporter’ dan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sekitar Gua Musang dan Jeli, di sini kelmarin.

Kesemua PATI dan tiga lelaki itu ditahan menerusi Op Gelombang 2 yang bermula pukul 3.15 pagi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan dengan bantuan JIM Kelantan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semasa serbuan di sekitar Jeli dan Gua Musang anggota bertugas berjaya menahan tiga ‘transporter’ masing-masing antara 39 hingga 60 tahun.

Menurutnya, pada masa sama seramai 15 orang PATI berumur antara 24 hingga 54 tahun yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Indonesia turut ditahan.

“Mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran dan melintasi Sungai Golok. Kemudian PATI ini dipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah penampungan.

“Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati sindiket ini menggunakan Modus Operandi membawa masuk PATI ini melalui laluan udara ke Thailand daripada Indonesia. Selepas itu PATI ini akan diseludup masuk ke negara ini melalui Sungai Golok, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Dzaimee memberitahu, siasatan awal mendapati ‘transporter’ warga tempatan itu menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan.

Katanya, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6000 hingga RM7000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini. 

“Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah. Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks. 

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan PATI berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini,” ujarnya.

Khairul Dzaimee berkata, sesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. 

“Tiga lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya