Tiga staf JKM nyaris panjat pokok kelapa sawit selamatkan diri - Utusan Malaysia

Tiga staf JKM nyaris panjat pokok kelapa sawit selamatkan diri

TANGKAP layar dua pegawai wanita JKM Batu Pahat berpeluk kegembiraan selepas dihampiri bot yang datang menyelamatkan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Tiga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) nyaris memanjat pokok kelapa sawit untuk menyelamatkan diri sekiranya paras air  banjir terus meningkat. 

Namun, mereka bernasib baik apabila diselamatkan sebelum terpaksa berbuat demikian dalam kejadian berhampiran  Parit Haji Kamisan di Yong Peng semasa dalam perjalanan menghantar bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun kenderaan pacuan empat roda dinaiki terperangkap dalam banjir kira-kira satu jam. 

Pegawai JKM Batu Pahat, Siti Nadiah Mardi, 36, memberitahu, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari semasa beliau dan rakan sekerja, Herlinda Abd. Majid, 42, dan pemandu mereka, seorang lelakinya berusia 46 tahun melalui jalan tersebut sebelum air banjir naik dengan cepat dan arusnya semakin deras, 

“Kenderaan kami terperangkap di kawasan kebun kelapa sawit yang dinaiki air. Jalan itu menjadi antara laluan ke PPS berkenaan. Pada awalnya air banjir naik hanya pada paras sederhana namun semakin tinggi sehingga melebihi satu meter. 

“Keadaan itu juga mengakibatkan pacuan empat roda jenis Ford Everest dinaiki kami hanyut ke tepi. Air terus naik sehingga memaksa kami naik ke atas bumbung kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kira-kira sejam berdepan situasi mencemaskan itu dan ketika sudah bersedia untuk memanjat pokok kelapa sawit kerana air semakin naik, dua lelaki menaiki sebuah bot datang menyelamatkan mereka.

“Saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak. Air menghampiri bumbung kereta dan kami ketika itu sudah bersiap sedia untuk berpaut pada pokok kelapa sawit.Tidak lama selepas itu kami mendengar bunyi bot dan ketika itu masing-masing menjerit meminta bantuan sambil melambai-lambaikan tangan.

“Hanya Tuhan saja mengetahui perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami,” katanya.

Siti Nadiah berkata, kesemua barang yang dibawa dalam kenderaan termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran rosak, namun mereka bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ini adalah kejadian kali pertama seumur hidup dan kami tidak akan lupakan dan akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Kami berterima kasih kepada keluarga, kenalan dan rakan sekerja yang mendoakan keselamatan kami.

“Kebiasaannya kami mangsa, namun kali ini kami sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya