PETALING JAYA: Polis belum membuka kertas siasatan berhubung aktiviti hiburan ‘Thai Hot Guy’ bagi majlis pembukaan sebuah bar di ibu negara susulan arahan pembatalan program tersebut.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kertas siasatan tidak dibuka setakat ini selepas polis memanggil penganjur semalam untuk menasihatkan agar program itu dibatalkan.
Menurut beliau, program itu mendapat tentangan dari pelbagai pihak dan penganjur akur untuk membatalkannya.
“Susulan itu penganjur akur untuk membatalkan penganjuran program terbabit.
“Setakat ini, sebanyak 60 laporan polis diterima berkaitan hal tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu penganjur ‘Thai Hot Guy’ merancang mengadakan aktiviti berkaitan Lesbian, Gay, Bioseksual, Transgender (LGBT) sempena pembukaan sebuah bar yang dijadualkan pada 30 Mac ini.
Keputusan itu dibuat susulan pelbagai kecaman dan reaksi yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.- UTUSAN