ISKANDAR PUTERI: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan kerajaan tidak telus dalam usaha mendapatkan semula dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), termasuk daripada Bank Pelaburan Global, Goldman Sachs yang merupakan penasihat kewangan syarikat kontroversi tersebut.
Beliau menegaskan, usaha yang dilakukan kerajaan terdahulu membolehkan negara mendapatkan semula kira-kira 71 peratus daripadanya pada ketika ini.
“Saya tidak faham apa yang dikatakan dengan tidak transparent (telus). Ini kerana semuanya berkaitan 1MDB ada dijawab di Parlimen.
“Adalah lebih baik kita fokus terhadap isu yang lebih penting, kerajaan berjaya membuat ‘recovery’ kira-kira 71 peratus, melebihi purata dunia iaitu kira-kira 30 peratus bagi kes seperti ini untuk sesebuah negara atau syarikat mendapat semula dana atau aset mereka,” katanya diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang negara mengalami kekurangan sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.77 bilion) bagi ‘settlement’ yang dicapai dengan Goldman Sachs berkaitan penglibatan firma itu dalam skandal 1MDB.
Tengku Zafrul ditemui selepas mengadakan lawatan ke GKN Engine Systems Component Repair Sdn. Bhd., di Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Bercakap kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris bulan lalu, Mahathir mendakwa wujud ketidaktelusan dalam mencapai perjanjian termasuk jumlah pembayaran yang dipersetujui.
Dalam pada itu, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan menuduh Goldman Sachs mengambil kesempatan daripada rundingan lemah oleh kerajaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangguhkan pembayaran sejumlah besar yang masih terhutang kepada Putrajaya di bawah perjanjian penyelesaian yang dimeterai lebih daripada dua tahun lalu.
“(Goldman Sachs) harus membayar balik secara tunai baki AS$1.4 bilion (RM6 bilion) kerugian 1MDB tanpa berdalih, dan terus,” katanya seperti dipetik dalam laporan Thomson Reuters Regulatory Intelligence pada bulan lalu.
Menurut laporan itu, perjanjian antara bank pelaburan AS dan kerajaan Muhyiddin menjangkakan bahawa Malaysia akan menerima jumlah itu dalam aset 1MDB menjelang 2025 sebagai sebahagian daripada penyelesaian AS$3.9 bilion (RM16.77 bilion) yang dicapai atas kerugian yang ditanggung oleh dana negara yang sarat dibebani hutang itu.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memuji usaha pasukan ‘taskforce’ yang dipengerusikan oleh Muhyiddin dalam usaha mengembalikan semula dana 1MDB.
“Bagi saya tidak kisahlah zaman (pentadbiran kerajaan) bila, yang penting ia tetap kerajaan Malaysia,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan sudah pun berjaya mendapat persetujuan pengembalian lebih RM8.1 bilion daripada syarikat International Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS. – UTUSAN