KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menegaskan kawasan tanaman padi di negeri ini masih lagi berbaki sebanyak 26,833 hektar berbanding 37,760 hektar ketika agensi berkenaan mula ditubuhkan pada 1972.
Pengurangan jumlah kawasan tanaman padi sebanyak 29 peratus bersamaan 10,072 hektar itu ekoran tanah tersebut ditukar status bagi tujuan pembangunan untuk penduduk di negeri ini.
Menurut rekod Kada, kekurangan itu berpunca daripada beberapa faktor iaitu akibat pembinaan jalan raya,landasan kereta api, perumahan, bandar dan lain-lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Kada, Mohd. Faizul Mustafa berkata, faktor pembangunan tidak dapat dinafikan kerana ia merupakan sebahagian daripada keperluan utama masyarakat.
Menurutnya, langkah itu selari dengan arus permodenan dunia hari ini yang perlu dikecapi oleh penduduk hasil kemakmuran negara.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, Kada merangka satu kertas cadangan untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri dan fokus Kada ketika ini ialah kepada pembangunan kawasan sawah yang terbiar.
“Langkah ini bagi membolehkan keseluruhan kawasan itu dimajukan dengan tanaman padi bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Faizul memberitahu, dengan baki keluasan sawah yang ada, purata penghasilan padi di bawah selian Kada susut 3.7 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2017.
Katanya, purata pengeluaran padi di kawasan Kada antara 4.0 hingga 4.5 metrik tan untuk keluasan satu hektar.
“Hasil padi di negeri ini turut merosot disebabkan beberapa faktor seperti air Sungai Kelantan cetek dan berlumpur.
“Setiap kali musim kemarau pam milik agensi itu gagal berfungsi dengan baik disebabkan paras air sungai yang cetek. Merumitkan lagi apabila kualiti air yang berlumpur turut memberikan kesan sekali gus mengganggu kerja-kerja penanaman padi oleh petani,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Faizul berkata, infrastruktur tali air yang sudah lama dan melebihi 40 tahun serta kurang sempurna turut menjejaskan hasil pengeluaran
“Perubahan cuaca semasa padi berusia 75-85 hari turut memberikan kesan kepada hasil tanaman,” katanya.-UTUSAN