JOHOR BAHRU: Sebanyak 160 tan metrik sisa dan sampah-sarap telah dikumpulkan setakat semalam susulan banjir terburuk yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.
Sampah-sarap itu dikumpulkan menerusi kerja pembersihan oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) setelah mengaktifkan operasi bantuan banjir secara berperingkat-peringkat di daerah yang semakin pulih daripada banjir, iaitu Kluang, Segamat, Johor Bahru, Kulai, Mersing dan Kota Tinggi.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, pihaknya mula melaksanakan pembersihan pasca banjir walaupun bencana itu masih melanda beberapa daerah setakat ini.
“Kerja pembersihan ini dilaksanakan oleh hampir 100 anggota barisan hadapan pengurusan sisa pepejal menggunakan 30 buah kenderaan berjentera.
“Ia membabitkan lori Open Tipper, lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak menerusi jalinan kerjasama dengan Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam pada itu, Mohd. Norlisam berkata, SWM Environment juga telah memulakan operasi bantuan banjir menerusi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di hampir 220 buah pusat pemindahan sementara (PPS) negeri ini
“Inisiatif ini dilaksanakan oleh seramai 60 anggota kerja dengan sokongan 20 lori kompaktor yang menyaksikan penempatan dan penambahan sebanyak 330 unit tong sampah beroda,” katanya sambil meminta supaya pemilik premis melaporkan kehilangan tong sampah beroda (TSB) kepada polis sekiranya hanyut atau rosak akibat banjir.
“Setiap pemilik premis perlu mengemukakan permohonan penggantian TSB bersama salinan laporan polis berkenaan secara dalam talian menerusi laman sesawang www.swmenvironment.com. Sebarang pertanyaan lanjut tentang prosedur penggantian TSB itu boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau WhatsApp kepada 012-618 0082,” katanya. – UTUSAN