ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan diharap menyalurkan peruntukan khas kepada Johor bagi membaiki infrastruktur awam dan harta benda awam yang rosak serta musnah akibat banjir yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, selepas dua minggu, masih terdapat banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya akibat bah terutamanya di daerah Batu Pahat.
“Saya ingin menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat saya yang terpaksa berdepan dengan musibah banjir yang sangat mencabar ini. Saya harap mereka sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi ujian dan dugaan ini.
“Selepas bencana ini berakhir, saya harap kerajaan Pusat beri peruntukan khas untuk baiki pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang musnah. Saya juga seru kepada orang ramai untuk hulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir supaya mereka dapat baiki rumah yang sudah rosak dan gantikan perabot dan alatan rumah yang telah musnah.
“Janganlah kita kedekut sangat kerana masalah banjir ini adalah kesan perubahan iklim dunia. Oleh itu saya gesa Bangsa Johor supaya membudayakan amalan mesra alam dan kurangkan pencemaran alam sekitar,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Banjir besar yang melanda negeri ini dilaporkan berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa, iaitu hampir dua kali ganda daripada jumlah purata hujan bulanan di negeri ini pada 28 Februari dan 1 Mac lalu serta menjejaskan seramai 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus lumus siang dan malam membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.
“Saya sangat bangga dengan semangat kerjasama dan bantu membantu yang diberikan tanpa kira kaum atau agama. Inilah budaya hidup masyarakat kita yang perlu dipertahankan, ibarat aur di tebing, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Tak lupa saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Pusat yang berikan peruntukan kewangan segera bagi meringankan beban mangsa banjir dan meneruskan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat untuk dilaksanakan segera,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berharap kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan untuk membaiki jalan yang rosak dan membahayakan pengguna termasuk Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing.
“Saya berharap agar bajet pembaikan jalan Persekutuan akan disalurkan untuk membaiki Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan membahayakan pengguna jalan raya. Habis rim kereta saya pun bengkok,” titah baginda
Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan dalam Belanjawan 2023 bagi menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng ke Senai menjadi enam lorong.
“Kalau boleh dari Gemas lah, buat apa separuh jalan. Kerajaan Pusat juga akan sediakan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar yang merupakan satu-satunya lebuhraya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol,” titah baginda. – UTUSAN