SUK Melaka sahkan angkat sumpah Ketua Menteri baharu esok

SUK Melaka sahkan Ketua Menteri baharu angkat sumpah esok

SERI Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal berlangsung esok, pukul 3 petang.

Perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Zaidi berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menamakan siapakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal mengangkat sumpah menggantikan Sulaiman.

“Adalah dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka telah pun menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

“Sehubungan dengan itu, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka Ke-13 adalah dijadualkan berlangsung pada 31 Mac 2023 hari Jumaat di Dewan Sri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pukul 3.00 petang,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman meninggalkan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada pukul 11.03 pagi tadi.

Usaha pengamal media untuk mendapatkan kenyataan ADUN Lendu itu gagal selepas kenderaan rasmi yang membawanya tidak berhenti.

Menerusi tingkap kereta yang diturunkan, Sulaiman hanya memberikan reaksi dengan mengangkat tangan kepada pengamal media.

Kira-kira 20 pengamal media berkumpul di hadapan Seri Negeri sejak pukul 8 pagi tadi bagi menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, hari ini.

Presiden UMNO itu dijangka tiba pada bila-bila masa bagi mempersembahkan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu, setelah Sulaiman melepaskan jawatannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya