LIPIS: Seorang penunggang motosikal maut manakala isterinya cedera parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 21, Jalan Lipis-Merapoh berdekatan simpang masuk ke pekan Padang Tengku di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Abdul Manaf Zakaria, 48, yang beralamat di Kampung Kemuning, Berchang di sini meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Noraida Mustapha, 44, mengalami patah tangan dan paha.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis Honda Wave Alpha bersama isterinya dalam perjalanan dari Kampung Berchang menghala ke Pekan Padang Tengku.
“Setiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hendak membelok masuk ke simpang kanan dan kemudiannya bertembung dengan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang warga emas berusia 83 tahun yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng cedera parah dan dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil siasatan awal, kemalangan ini berlaku punca kecuaian penunggang motosikal, iaitu ketika membelok masuk ke simpang,” katanya. – UTUSAN