BACHOK: Sepasang suami isteri dari Kampung Tok Burung, di sini sebak apabila menjadi salah seorang penerima sumbangan daripada Majlis Orang-Orang Besar Di-Raja Kelantan (MOB).
Pasangan suami isteri itu, Nik Rohani Abdul Rahman,61 dan Che Aznan Che Yusof, 55, yang lumpuh akibat
serangan angin ahmar menerima sumbangan berupa bakul makanan dan sumbangan wang tunai disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Nazran Muhammad yang hadir bersama isteri Datin Dr. Wan Nazariah Wan Hassan serta rombongan MOB.
Nik Rohani berkata, sejak suaminya hilang upaya untuk bekerja bantuan bulanan Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) RM450 menjadi ‘penyambung’ kelangsungan hidup mereka selain sumbangan dua anak yang bekerja di pasar raya dekat Kuala Lumpur.
Menurutnya, kedua-dua anak perempuannya itu berhijrah ke ibu kota dan bekerja di pasar raya sebaik sahaja menamatkan pengajian tingkatan lima semata-mata membantu keluarga.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang jahit. Namun saya sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja tersebut kerana mata semakin kabur, lagipun masa banyak diperuntukkan untuk mengurus keadaan suami yang terlantar.
“Anak bongsu saya, Ahmad Azudi, 18, yang baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga sedang mencari pekerjaan sesuai bagi menampung kehidupan kami tiga beranak. Setakat boleh berusaha, kami usahakan namun meminta-minta tidak sekali, ” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Rohani memberitahu, suaminya hanya memerlukan lampin pakai buang sahaja disebabkan dia tidak mampu untuk bergerak.
Sementara itu, Nazran berkata, MOB menyediakan peruntukan sebanyak RM45,000 bagi membantu 151 keluarga miskin di sembilan jajahan seluruh negeri menerusi Jelajah Menyampaikan Bantuan Ramadan.
Katanya, seramai 15 penerima dipilih di setiap jajahan kecuali di Bachok seramai 16 orang dengan pendekatan turun padang dan bertanya khabar keluarga yang terlibat.-UTUSAN