KUANTAN: Skuad Sri Pahang memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila membelasah Kelantan 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Anak buah Fandi Ahmad tidak menunggu lama membolosi gawang lawan apabila membuka jaringan pertama menerusi tonggak importnya, Kpah Sherman minit ke-12 permainan.
Pemain import Sri Pahang dari Filipina, Kevin Ingreso menambah jaringan pada minit ke-38 untuk Tok Gajah mendahului 2-0.
Kelantan dilihat seolah-olah gagal mengekang tekanan dan aksi bertenaga Sri Pahang yang akhirnya menambah derita pasukan itu menerusi jaringan ketiga Sergio Aguero pada minit ke-43 permainan.
Skuad The Red Warriors (TRW) kadang-kala melakukan asakan ke kubu tuah rumah namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan Sri Pahang diketuai Fadhli Shas.
Sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir, Sri Pahang menambah satu lagi jaringan menerusi Brundo Stefano untuk selesa mendahului 4-0.
Bermula separuh masa kedua, TRW dilihat lebih mendominasi permainan dan akhirnya berjaya membolosi gawang tuan rumah pada minit akhir perlawanan menerusi Cipuentes.
Pahang pula dilihat mengendurkan asakan dan hanya kadangkala melakukan serangan sehinggalah wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali. – UTUSAN