Sorok syabu RM10.3 juta dalam bungkusan kurier dari Thailand

Sorok syabu RM10.3 juta dalam bungkusan kurier dari Thailand

MUHAMAD Zaki Harun (tengah) bersama pegawai menunjukkan dadah yang dirampas di Kuala Krai semasa sidang media di IPD Pasir Mas, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Taktik licik sindiket penyeludupan dadah yang menyembunyikan syabu bernilai RM10.8 juta di dalam bungkusan kurier dari Thailand terbongkar selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang membawa semua bahan terlarang itu ditinggalkan di kebun getah di Kampung Batu Balai Kuala Krai hari ini.

Serbuan pukul 7.30 pagi itu dilakukan selepas kereta peronda polis (MPV) berselisih dengan Proton Exora yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum itu MPV berkenaan dalam perjalanan dari arah Sungai Durian, Kuala Krai ke Gua Musang.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari kenderaan dipandunya diekori polis, suspek kemudiannya meninggalkan MPV tersebut di kawasan kebun getah sebelum lari ke dalam kawasan semak sehingga gagal dikesan.

“Pemeriksaan di dalam MPV tersebut telah membawa kepada penemuan 300 kilogram (kg) dadah jenis syabu di dalam 12 guni yang diletakkan tempat duduk penumpang belakang.

“Setiap satu guni itu mengandungi sebanyak 25 bungkusan yang dibungkus menggunakan plastik kurier dari Thailand. Siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah-dadah itu dianggarkan bernilai RM10.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, dadah yang dirampas itu boleh dijual kepada 3 juta penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.

Katanya, Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan dadah tersebut dipercayai akan dijual untuk pasaran luar Kelantan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjejaki suspek yang memandu MPV tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya