SIRIM Berhad sasar lahir 50,000 usahawan menjelang 2027 - Utusan Malaysia

SIRIM Berhad sasar lahir 50,000 usahawan menjelang 2027

AHMAD Sabirin Arshad (dua dari kanan) dan Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir (dua dari kiri) menyerahkan bantuan pembungkusan kepada usahawan produk cincau, Zulfaidah Ahmad pada majlis berbuka puasa di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: SIRIM Berhad menyasarkan seramai 50,000 orang usahawan dapat dilahirkan menjelang tahun 2027 menerusi program pembangunan usahawan termasuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dikendalikannya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, jumlah usahawan tersebut termasuk dalam kalangan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) serta usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana.

“Ia termasuk menerusi pelaksanaan CSR bagi membantu usahawan yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40. Ini membantu bagi meningkatkan produktiviti melalui pembangunan jenama dan pelabelan sekali gus mentransformasi golongan tersebut menjadi usahawan yang berdaya saing di peringkat tempatan dan global. 

“Keusahawanan yang berkualiti dapat mengubah masyarakat ke arah ekonomi dan sosial yang lebih baik dan berdaya saing. Ia memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi di seluruh dunia,”  katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pembungkusan Produk Usahawan B40 dan Asnaf dan Majlis Berbuka Puasa di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Sabirin berkata, pihaknya telah melaksanakan CSR dengan memperuntukkan sejumlah RM200,000 kepada 10 orang usahawan di Negeri Sembilan dan 10 orang lagi usahawan dari Melaka yang masing-masing merupakan golongan asnaf dan kumpulan B40. 

“Bantuan yang diberikan kepada 20 orang usahawan terlibat adalah melibatkan latihan dan khidmat rundingan perniagaan melalui Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM (PSDC) dan SIRIM STS Sdn. Bhd. 

“Khidmat rundingan perniagaan juga disediakan iaitu melalui pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, bahan promosi dan kursus asas pemasaran digital,” katanya. 

Ahmad Sabirin dalam pada itu menambah, pihaknya komited untuk terus melaksanakan program CSR seumpama ini di negeri lain dengan turut menjalin kerjasama dengan majlis agama negeri-negeri mahupun mana-mana agensi di setiap negeri.

“Program ini sekali gus dapat membantu meningkatkan kualiti hidup kumpulan asnaf dan B40 melalui perniagaan dan pembangunan kemahiran,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya