MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta mempertimbangkan cadangan menambah mesin dialisis dan membuka lebih banyak pusat rawatan hemodialisis di Melaka bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ketika ini hanya terdapat empat pusat hamodialisis kendalian KKM iaitu di Hospital Jasin, Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka serta satu di Klinik Kesihatan Cheng.
Menurut beliau, kesemua kemudahan tersebut beroperasi pada kapasiti maksimum dengan merawat 282 pesakit menggunakan 62 mesin dialisis.
“Keperluan pusat hemodialisis di Melaka buat masa ini dalam keadaan terkawal. Ini kerana keperluan itu masih dapat ditampung oleh 32 pusat rawatan hemodialisis swasta berlesen yang mempunyai 449 mesin dialisis dan mampu merawat 1,513 pesakit.
“Bagaimanapun, tidak semua rakyat mampu mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis swasta. Oleh itu mana-mana pesakit yang telah dikenal pasti dalam kategori asnaf akan dimasukkan ke pusat hemodialisis KKM, tetapi jumlah mesin yang terhad menyebabkan masa menunggu untuk mendapatkan rawatan lebih panjang.
“Justeru, saya telah kemukakan beberapa cadangan kepada KKM untuk menambah mesin dan pusat-pusat hemodialisis. Saya mohon cadangan yang kita angkat ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Muhamad Akmal, kerajaan negeri juga berhasrat membina sebuah pusat hemodialisis bagi membantu rakyat Melaka yang tidak layak mendapat bantuan rawatan.
Katanya, perbincangan dengan pusat zakat dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk menambah satu atau dua pusat hemodialisis dalam tempoh empat tahun akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Kita akan berbincang dalam tempoh terdekat dan saya telah arahkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka untuk mengadakan satu mesyuarat bagi melihat bagaimana kerajaan negeri boleh membantu.
“MAIM memang membantu selama ini, tetapi lebih baik jika kita boleh sekurang-kurangnya merancang untuk membina pusat hemodialisis sendiri. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat negeri ini yang tidak mampu mendapatkan bantuan rawatan,” ujarnya. – UTUSAN