Siasat secara telus rasuah politik-Takiyuddin

Siasat secara telus rasuah politik-Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan (kiri) beramah mesra dengan orang ramai menghadiri program prihatin Peringkat Parlimen Kota Bharu di Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan secara telus berkait dengan rasuah politik dan tidak hanya tertumpu kepada parti pembangkang sahaja.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan ke atas parti yang menjadi kerajaan pada hari ini sebagai tanda mencerminkan ketelusan itu.

Menurutnya, tindakan SPRM membekukan satu-satu akaun bukan memberi makna pihak terbabit sudah melakukan kesalahan malah ada juga yang tidak berkait dengan kewangan di dalam parti berkenaan.

“Sebagai contoh UMNO pernah mempunyai wang sebanyak RM114 juta satu masa dahulu dan akhirnya bila SPRM mendapati tiada kes berkaitan, maka pembekuan ditarik balik.

“Proses undang-undang untuk pembekuan akaun ada caranya dan boleh memohon untuk dilepaskan jika tidak terbabit dalam isu berkaitan,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri program prihatin Kota Bharu Dun Kota Lama hari ini. 

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, wang yang masuk ke dalam akaun parti mestilah duit yang diperolehi daripada sumber yang sah termasuk sumbangan daripada orang ramai, ahli dan juga mana-mana pihak berkenaan.

Katanya, hal ini kerana Malaysia tidak ada undang-undang berkaitan dengan dana politik dan sesiapa sahaja boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti termasuklah Pas.

“Kalau SPRM nak lakukan semakan kewangan terhadap parti-parti bertanding boleh…kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) semuanya menggunakan wang. 

“Dari mana mereka dapat wang untuk membuat poster,  jalankan ceramah, dan mengadakan kegiatan dan aktiviti ketika kempen PRU, sudah tentulah usaha daripada parti itu sendiri untuk mendapatkan kewangan bagi parti masing-masing,” ujarnya.

Takiyuddin berkata, satu masa dahulu Pas pernah dituduh terima wang sebanyak RM90 juta namun SPRM mengesahkan tiada bukti dan ia bersifat tuduhan tidak berasas.

“Jadi saya yakin dalam isu pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pun sebenarnya ia duit parti itu yang diperolehi daripada penyokong-penyokong dan ahlinya.

“Proses pembekuan itu boleh dilepaskan jika ia tiada bukti dan wang berkenaan boleh diperolehi semula,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya