SEREMBAN: Empat daripada lima buah bahagian UMNO di Negeri Sembilan yang menyaksikan pertandingan bagi jawatan ketua telah selesai melakukan pengiraan bagi proses pemilihan yang diadakan siang tadi.
Bahagian tersebut adalah Port Dickson, Rasah, Jempol dan Seremban manakala bahagian Kuala Pilah difahamkan belum selesai melakukan pengiraan.
Di Bahagian Seremban, menyaksikan kejutan apabila Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim gagal mempertahankan jawatan ketua apabila tewas kepada pencabarnya, Mazalan Maarop.

Bahagian Jempol pula menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor menewaskan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin bagi jawatan ketua.
Jawatan berkenaan pada penggal sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif yang telah digantung keahlian parti selama enam tahun.
Di Port Dickson pula, Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Mohd. Faizal Ramli mengekalkan jawatannya itu manakala anak kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd. Najib Mohd. Isa menang bagi jawatan timbalan ketua.
Bahagian Rasah pula menyaksikan Datuk Hasim Rusdi mengekalkan jawatan ketua dengan menewaskan dua orang lagi pencabarnya..-UTUSAN.