Seremban perluas penggunaan panel solar, menuju bandar rendah karbon - Utusan Malaysia

Seremban perluas penggunaan panel solar, menuju bandar rendah karbon

PENGGUNAAN lebih banyak panel solar selain penggunaan kenderaan elektrik di bandar Seremban dilihat dapat membantu menjayakan Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon Seremban 202.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan memperluaskan penggunaan panel solar di bangunan dan premis miliknya dalam usaha bandar raya ini menuju ke arah bandar pintar dan rendah karbon menjelang tahun 2027.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, untuk tujuan itu juga pihaknya dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan kenderaan dalam bandar Seremban selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan akan turut membanyakkan lagi tempat pengecas kenderaan elektrik di bandar ini.

“Kami telah memulakan dengan pemasangan panel solar di Wisma MBS dan Pasar Besar Seremban serta akan diperluaskan di Stesen Bas Terminal 1 dan pejabat cawangan kami di Nilai.

“MBS juga akan mulakan dengan penggunaan kenderaan elektrik bermula tahun hadapan, kami akan melihat jabatan mana yang memerlukannya namun anggota penguat kuasa turut akan menggunakan skuter elektrik bagi melakukan rondaan di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon Seremban 2027 dan Pelan Tindakan Khas Pembaharuan Pekan Nilai di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) dan Masri (kanan) pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon Seremban 2027 di Seremban hari ini.

Masri dalam pada itu menambah, bagi memastikan inisiatif bandar rendah karbon dilaksanakan, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa jalan yang boleh ditutup pada satu-satu masa untuk dijalankan program hari tanpa kenderaan.

“Kami ada perancangan untuk beberapa jalan ditutup untuk sesuatu masa contohnya pada hujung minggu untuk hari tanpa kenderaan, ada beberapa kawasan yang kami lihat ia boleh dilaksanakan.

“Stesen Bas Terminal 1 juga akan dinaik taraf dan pihak operator selepas ini akan memastikan bas yang berada di tempat pelepasan tidak sentiasa berada dalam keadaan enjin dihidupkan, mengeluarkan asap dan sebagainya. Kami akan cuba sebaik mungkin bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar ketika dalam ucapannya berkata, inisiatif yang diambil oleh pihak MBS tersebut perlu diikuti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain dan ia selaras dengan matlamat pembangunan yang ditetapkan di negeri ini iaitu Negeri Sembilan 2045 Sejahtera, Inklusif dan Mampan

“MBS merupakan PBT pertama di Negeri Sembilan yang telah mewujudkan Pelan Tindakan menyeluruh berkaitan pembangunan mampan iaitu Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon Seremban 2027. 

“Seharusnya ini menjadi satu contoh kepada PBT lain untuk sama-sama berusaha menyediakan pelan tindakan seperti ini kerana ianya adalah selaras dengan agenda pembangunan negara yang mendukung agenda pembangunan mampan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya