Seramai 89 calon terjejas akibat banjir, gagal duduki SPM - Utusan Malaysia

Seramai 89 calon terjejas akibat banjir, gagal duduki SPM

Seramai 403,637 orang calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini terkandas akibat banjir dan tidak dapat menduduki peperiksaan pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh berkata, kesemua calon SPM yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

“Seramai 89 calon SPM di Segamat, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato’ Bentara Dalam dan SMK Labis, Segamat. 

“Di Kulai membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik, manakala pada petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat pukul 8 pagi tadi, media melaporkan seramai 1,591 mangsa banjir daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak malam tadi melibatkan empat daerah, iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat. 

Norliza berkata, terdapat pelajar di beberapa buah pusat peperiksaan di Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat.

Katanya, ada kes calon SPM terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain. 

“Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain, iaitu melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

Jelasnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutamanya membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya