MUAR: Pasangan suami isteri lega dan bersyukur kerana sempat memindahkan ratusan ekor arnab yang menjadi sumber rezeki keluarga mereka, termasuk beberapa ekor ayam dan burung yang digunakan sebagai pameran.
Shahrizan Mansor, 41, dan isterinya, Norhafizah Hashim, 38, dari Kampung Liang Batu, Lenga di sini berkata, bagaimanapun tiga buah kandang bersaiz besar menempatkan kira-kira 200 ekor arnab, lima ekor ayam eksotik serta tiga ekor burung baji itu musnah.
Shahrizan memberitahu, selain kandang, ratusan bungkusan arnab sejuk beku yang telah sedia untuk dijual juga rosak berikutan bekalan elektrik kini terpaksa ditutup di kampungnya.
“Apabila dengar kejadian banjir di Labis, Segamat dah makin buruk, kami ambil langkah awal memindahkan semua arnab, ayam dan burung baji ke kediaman rakan di Felda Batu 27, Lenga kerana kedudukan rumahnya atas bukit. Namun, semua sangkar dan beberapa peti sejuk beku hanya diletakkan di tempat lebih tinggi dalam kediaman kami kerana sangka banjir seperti tahun lalu, iaitu paras buku lali.
“Namun, semalam apabila dengar orang kampung bercerita air di rumah mereka dah makin naik setinggi hampir dua meter, kami terkedu dan percaya semua barang elektrik serta kandang haiwan yang dah letak di tempat tinggi pasti turut terjejas,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Sukan Pagoh, di sini.
Menurut Shahrizan, kerugian bagi kesemua barangan perniagaan termasuk tiga buah kandang, sebuah peti sejuk dan dua buah peti sejuk beku dianggarkan mencecah RM30,000.
“Arnab ini memang merupakan mata pencarian kami kerana menjualnya secara sejuk beku dengan pelbagai perisa, manakala ayam eksotik dan burung baji kami gunakan sebagai pameran di karnival sekolah.
“Alhamdulillah, saya dibantu lapan orang rakan sempat memindahkan kesemua haiwan ini menggunakan lori pada Khamis kerana mengambil pengajaran atas kejadian banjir yang berlaku tahun lalu.
“Tak sangka hari Jumaat lepas, kami dapat arahan untuk berpindah walaupun kediaman belum dinaiki air. Masa itu, kami cuba selamatkan barangan elektrik dan kandang haiwan, manakala bungkusan arnab sejuk beku ditumpang di peti ais rumah jiran kerana kedudukannya lebih tinggi, namun kami dimaklumkan bekalan elektrik yang ditutup menyebabkan stok makanan sejuk beku itu pasti rosak,” katanya sayu.
Bapa kepada dua cahaya mata ini mengakui, meskipun sedih dengan ujian menimpa, namun apa yang lebih utama adalah keselamatan ahli keluarganya memandangkan keadaan isterinya pula kini sarat hamil lapan bulan. – UTUSAN