Sektor perhotelan mohon kelonggaran dapatkan pekerja asing - Utusan Malaysia

Sektor perhotelan mohon kelonggaran dapatkan pekerja asing

CHRISTINA Toh (empat dari kanan) dan Haziz (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Karnival MAH Negeri Sembilan Food Festival 2023 dan Promosi Jualan Sempena Ramadan di Port Dickson, kelmarin.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sektor perhotelan dalam negara masih terbeban dengan keperluan untuk mendapatkan pekerja asing yang sehingga kini masih belum mendapat jalan penyelesaian.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh berkata, pihak hotel di seluruh negara kini berdepan isu kekurangan pekerja terutama ketika permintaan penganjuran pelbagai acara dan mesyuarat meningkat di hotel-hotel.

“Memang hotel tidak cukup kakitangan, banyak pihak mahu melancarkan acara dan mesyuarat dekat hotel kerana mereka mahu melakukannya sebelum bulan Ramadan.

“Ketika kerajaan menguatkuasakan (waktu bekerja) 45 jam seminggu itu, ia memang beri kesan kepada kami sedikit jadi kami memerlukan pekerja asing di bahagian housekeeping dan pelayan,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Pelancaran Karnival MAH Negeri Sembilan Food Festival 2023 dan Promosi Jualan Sempena Ramadan di sini kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan.

Christina berkata, pihaknya juga telah menghantar surat untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan isu yang dihadapi sektor perhotelan termasuk berkaitan pekerja asing.

Sementara itu, Haziz berkata, pihak industri hotel sehingga kini masih lagi menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerja terutama dalam kalangan rakyat tempatan.

“Saya harap pihak kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia dapat memberikan kelonggaran kepada sektor perhotelan dan pelancongan untuk menggajikan pekerja asing,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ia hanya akan dilaksanakan bagi lima sektor atau subsektor yang kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya