SEGAMAT: Seorang mangsa banjir di sini tergamam apabila melihat sejadah dan buku surah Yasin miliknya tidak sedikit pun rosak mahupun basah dalam bencana banjir menenggelamkan keseluruhan ruang rumahnya di Kampung Jawa Baru, Chaah, di sini.
Azizah Bani, 53, menjumpai sejadah serta buku surah Yasin tersebut sewaktu membuat pembersihan rumahnya selepas air surut sejak semalam.
“Satu-satunya barang yang selamat dan sempurna ialah sejadah dan buku surah Yasin ini. Alangkah terkejutnya saya.
“Ya Allah, saya tak dapat tahan air mata apabila tengok kedua-dua barang itu tak koyak langsung atau basah. Saya berasa sangat insaf melihat kebesaran Allah ini. Subhanallah,” katanya.
Azizah memberitahu, pakaian serta semua peralatan rumah hanyut dan bergelimpangan di dalam rumah nanum sejadah serta buku surah Yasin tersebut selamat.
Menurutnya, keajaiban yang pertama kali berlaku di rumahnya hanya Allah yang mengetahuinya walaupun kalau difikirkan logik akal, semua barang tersebut sepatutnya sudah basah dan koyak.
Suaminya, Wahid Panot, 63, berkata, terdapat al-Quran serta buku surah Yasin yang lainnya di dalam laci turut hanya basah.
“Ada buku-buku agama lain dalam laci didapati basah kerana terkena banjir, namun sejadah dan buku surah Yasin yang ini dijumpai atas lantai rumah tidak basah mahupun koyak walaupun telah terendam air bah.
Dalam banjir yang melanda kampung tersebut Rabu lalu, Azizah, suami, abang serta tiga anaknya terpaksa memecahkan bumbung rumahnya bagi menyelamatkan diri apabila paras air naik mendadak di Kampung Jawa, Chaah.
Enam sekeluarga ini turut berada di atas bumbung rumah selama tujuh jam dalam kesejukan hujan lebat dan kelaparan sebelum diselamatkan oleh pihak polis dengan menggunakan bot penyelamat. – UTUSAN