PETALING JAYA: Kerajaan diminta mempercepat pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang kini dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen supaya isu salah guna produk berkenaan termasuk vape dapat diatasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil berkata, Nanostix antara yang terawal dan kekal konsisten dalam mengadvokasi supaya satu akta regulasi diperkenal kepada industri rokok elektronik.
Katanya, ini supaya isu-isu seperti salah guna peranti vape untuk penyalahgunaan dadah dapat dicegah.
KETAGIHAN
Sebab itu, tambah beliau, pihaknya menyokong inisiatif Generasi Penamat (GEG) kerajaan untuk menamatkan rantaian ketagihan rokok terhadap generasi muda yang lahir pada tahun 2007 ke atas.
“Pihak kami sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan mengambil tindakan undang-undang jika didapati pihak tertentu menyalahguna perantinya bagi tujuan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia terdapat peningkatan penagih dadah kalangan golongan belia, disebabkan penggunaan vape yang dicampur bahan terlarang itu malah mudah didapati di pasaran.
Menurut Shahabudeen, beliau yakin produk keluarannya telah memenuhi piawaian sepatutnya sebelum dikomersialkan.
Beliau bagaimanapun mengakui rokok elektronik keluarannya juga tidak terlepas daripada terpalit dalam isu pencampuran bahan terlarang, namun menegaskan, pihaknya tidak terlibat dalam kegiatan itu.
“Kami baru sahaja menerima kes ini. Contohnya, pihak berkenaan mengambil pod dan mencucuk sendiri memasukkan dadah. Kami tiada kuasa untuk mengawalnya, tetapi, akan cuba yang terbaik untuk memastikan rokok elektronik yang sampai kepada pengguna tidak mengandungi bahan terlarang.
“Sebab itu, sejak awal lagi kami mengambil langkah membuat pembungkusan rokok elektronik yang selamat dari kilang supaya tidak akan ada ruang untuk pihak lain menambah bahan terlarang ke dalamnya.
“Cara pembungkusan kami juga menggunakan aluminium dan plastik, selain pemantauan secara dalaman di kedai-kedai, dan tiada laluan untuk memasukkan bahan terlarang tanpa memecahkan bungkusannya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, syarikat-syarikat pengeluar vape dan rokok elektronik juga perlu kerap melakukan pemantauan terhadapdaan produk mereka dari proses produksi, pembuatan sehingga ke pengguna, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Akhbar ini kelmarin melaporkan penjualan peranti vape tidak berdaftar secara berleluasa dan kewujudan pelbagai dadah baharu sehingga sukar dikesan melalui ujian saringan air kencing antara punca peningkatan penagih belia sejak tahun lalu. -UTUSAN