TUMPAT: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kok Pasir di sini mengimbau semula kenangan silam apabila melakukan rondaan sambil membawa karak memastikan kawasan kampung bebas daripada kecurian.
Pengerusi KRT Kok Pasir Othman Salam berkata, karak yang diperbuat daripada daun kelapa itu akan dibakar untuk mendapatkan cahaya bagi menerangi kegelapan malam semasa melakukan rondaan.
Menurutnya, usaha ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda berkait dengan penggunaan karak pada waktu malam untuk tujuan rondaan keselamatan.
“Orang tua dulu kalau jaga kampung mereka guna karak, kita di KRT Kok Pasir cuba hidupkan kembali suasana itu.
“Uniknya, karak yang digunakan ini dihasilkan oleh generasi muda. Mereka yang menghasilkan karak ini mewarisi kepandaian dari orang-orang tua dahulu,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Semementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, apa yang dizahirkan oleh penduduk kampung ini memperlihatkan suasana anggota keselamatan menjaga kampung ketika KRT ditubuhkan pada tahun 1948.
Katanya, ketika itu zaman komunis dan hanya cahaya karak yang menerangi kawasan rondaan di kampung-kampung untuk menjaga keselamatan pada waktu malam.
‘Tetapi suasana itu sudah tiada lagi dan malam ini kita bakar karak ini imbau semula kenangan tersebut.
“Rondaan kampung yang diaktifkan oleh SRS ini mampu mengurangkan Kadar jenayah kerana mereka adalah mata telinga polis dalam menyalurkan maklumat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Mohd. Anuari Mohd. Yusof berkata, rondaan SRS diperhebatkan semula selepas dihentikan sementara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19.
Katanya, di Kelantan terdapat 480 KRT dan 478 SRS yang aktif dalam menjaga keselamatan kampung.-UTUSAN