SEREMBAN: Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh masa dua bulan lagi.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pertemuan di antara parti telah diadakan di peringkat negeri dan secara dasarnya kedua-dua parti bersetuju untuk bersama bagi menghadapi PRN.
“Saya sudah sebut juga, sekarang kami bersama dengan BN, kami telah adakan perjumpaan dan secara dasarnya bersetuju untuk bersama. Dalam masa terdekat atau sebulan dua lagi kami dapat selesaikan isu pembahagian kerusi, selepas itu terpulang kepada parti untuk menentukan calon masing-masing.
“Tiada masalah dan isu besar, saya rasa semangat itu yang perlu ada dan saya yakin BN dan PH mempunyai cara bersama untuk kita hormat apa juga keputusan kepemimpinan, itu yang paling penting,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Ditanya mengenai pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan melantik Menteri Besar dalam kalangan pemimpinnya jika memenangi PRN di Negeri Sembilan, Aminuddin menyifatkan ia sebagai perkara biasa.
Beliau turut berpandangan, kenyataan itu juga belum tentu menggambarkan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk menghadapi PRN.
“Setakat cakap siapa menteri besar, siapa ketua menteri, siapa yang akan mengetuai, itu baru satu parti yang umumkan, belum lagi bincang lagi mengenai kerusi, parti satu lagi nampak diam, kalau diam belum tentu kata mereka sudah bersedia,” katanya.
Sewaktu sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Bersatu di ibu negara baru-baru ini, Muhyiddin berkata, Bersatu akan melantik menteri besar dalam kalangan pemimpin parti itu di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Selangor sekiranya memenangi PRN dan berjaya membentuk kerajaan.
Jelas Muhyiddin, perkara tersebut telah dibincangkan dan diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi PN.-UTUSAN.