KOTA BHARU: Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kelantan akhirnya duduk semeja buat kali pertama selepas membentuk kerajaan perpaduan diperingkat pusat pada 24 November tahun lalu.
Pertemuan yang dipercayai berlangsung di ibu kota itu dihadiri Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Khalid Samad dan pemimpin terkini kedua-dua parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Sumber BN mendedahkan, perjumpaan sulung itu berkisarkan kepada isu-isu permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Kelantan ketika ini.
Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan sepanjang pertemuan itu ialah masalah air, kegagalan mengurus sampah, pentadbiran lemah Pas di Kelantan, peluang pekerja dan sebagainya.
“Pertemuan ini merupakan manifestasi hubungan kukuh antara kedua-dua gabungan parti yang membentuk kerajaan peraduan di peringkat pusat. Insya-Allah dengan kerjasama yang terbentuk hari ini, BN akan memberikan satu tawaran baharu yang lebih baik kepada rakyat Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Harapan kita sebuah Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk di Kelantan selari dengan kerajaan diperingkat persekutuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut pertemuan itu, Sumber BN memberitahu, pertemuan awal itu tidak menyentuh isu agihan kerusi menjelang PRN yang dijangka berlangsung pada Jun ini.
Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan pada pertemuan-pertemuan selepas ini.-UTUSAN