Pertahan AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak harap pemilihan penuh setiakawan - Utusan Malaysia

Pertahan AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak harap pemilihan penuh setiakawan

RAZAK DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Persaingan merebut semua jawatan dalam UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan parti itu kali ini sesi 2023-2026 diharap berjalan secara sihat dan penuh semangat setiakawan.

Ketua Cawangan UMNO dan Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud yang mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut berkata, persaingan bukan bermaksud berlaku perpecahan, sebaliknya ia menunjukkan demokrasi dengan semangat yang tinggi dalam UMNO.

“Persaingan kali ini memang ‘panas’ tetapi selepas keputusan diketahui nanti, kita sejukkan dengan kasih sayang seperti dalam satu keluarga.

“Semua yang bertanding masing-masing mempunyai kelayakan bersaing, kalah menang sudah menjadi lumrah, ia adat bertanding.

“Kepada yang menang, teruskan menjalankan tanggungjawab parti dan yang kalah teruskan memberi khidmat sokongan dan pandangan yang baik kepada UMNO Bahagian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Razak yang yang juga Exco dalam Biro Sosial, Felda Wilayah Jengka dan Pengerusi Masjid Gabungan Wilayah Jengka berharap, selepas tamat pemilihan, semua jentera UMNO Bahagian Jerantut terus bergerak dengan aman damai dan lancar.

“Saya berharap dapat memberikan khidmat kepada masyarakat khususnya daripada sudut ekonomi kepada pesawah, pekebun kecil dan orang kurang berkemampuan di kampung tradisi yang mana punca pendapatan mereka tidak stabil.

“Saya juga akan terus berjuang dan bersuara bagi memastikan daerah Jerantut dinaiktaraf membabitkan aspek jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik di kawasan yang belum selesai,” katanya.

Selain itu beliau berkata, UMNO Bahagian Jerantut juga perlu terus mendekati pengundi muda berusia 18 hingga 26 tahun agar golongan itu kembali menyokong parti keramat ini.

“Saya mohon restu, doa dan sokongan semua rakan seperjuangan khususnya para perwakilan untuk memberikan saya satu ruang bagi terus berkhidmat sebagai AJK UMNO Bahagian Jerantut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya