Persiapan sekolah anak musnah sekelip mata - Utusan Malaysia

Persiapan sekolah anak musnah sekelip mata

SHUKOR YAHYA menyuapkan roti kepada dua anaknya, Nur Hadirah Jannah, 7, dan Muhammad Arif, 11, ketika berada di PPS Institut IKTBN, Pagoh, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang bapa hanya mampu reda apabila kelengkapan persekolahan anak-anaknya yang baru sahaja dibeli tidak sempat diselamatkan selepas rumah mereka dilanda banjir, semalam.

Shukor Yahya, 59, mendakwa kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk apabila kediamannya di Kampung Jawa, Panchor, di sini dinaiki air dengan cepat.

“Pagi semalam saya sempat keluar bekerja sebab sangkakan banjir yang bakal berlaku adalah seperti biasa sebab selalunya air naik sehingga paras buku lali sahaja.

“Namun, dalam pukul 12 tengah hari, isteri telefon mengatakan air dah masuk ke rumah dan limpahannya sangat laju. Saya bergegas pulang dan dapati air dari paras buku lalu mulai naik sampai ke paha, iaitu kira-kira setengah meter,” katanya ketika ditemui di sini.

Empat anaknya berusia antara tujuh hingga 19 tahun turut bergegas membantu dia dan isteri, Hasniyati Karimin, 47, untuk menyelamatkan barangan elektrik.

“Masa itu dah tak fikir benda lain, yang kami tahu peti ais kena letak di tempat tinggi, televisyen pun kena ubah tempatnya, sampai terlupa nak selamatkan kelengkapan sekolah anak. Apabila dah sampai pusat pemindahan sementara (PPS) baru teringat apa agaknya jadi dengan barang sekolah anak-anak. Baru beli minggu lepas semuanya termasuk baju, beg, kasut dan alat tulis.

“Sedih apabila mengenangkan barang-barang itu semua rosak sekelip mata, walhal saya sampai buat simpanan khas sejak beberapa bulan lalu demi nak membeli barang keperluan sekolah sahaja,” katanya sayu.

Shukor berkata, tiga anaknya berusia tujuh, 11 dan 15 tahun sebelum ini teruja berpeluang memilih sendiri kelengkapan persekolahan mereka.

“Sebelum ini anak mengadu beg sekolah pakai berapa bulan dah koyak, kasut dah rosak. Jadi sesi persekolahan kali ini saya fikir nak beli barang yang baik dan berkualiti untuk anak-anak biar tahan lama.

“Setiap seorang dah beli dua buah beg dan dua pasang kasut. Kalau nak kira hampir RM1,000 juga dah berhabis beli barang sekolah mereka, tapi apakan, tak ada rezeki mereka,” katanya yang ditempatkan di PPS di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) sejak petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya