PORT DICKSON: Persembahan Tatu Tentera Darat yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) malam tadi berlangsung penuh memukau di hadapan ribuan pengunjung yang hadir.
Persembahan malam tadi dimulakan dengan aksi dari 21 Grup Gerak Khas yang menampilkan kompetensi taktik, teknik dan prosedur dalam penggempuran jarak dekat terus mengujakan penonton.
Ia kemudian disusuli dengan persembahan muzik dan pembentukan formasi dari Tim Drumline Tentera Darat sebelum Skuadron Istiadat Berkuda tampil menghiburkan dengan persembahan The Horse Soldier.
Pengunjung kemudian dipertontonkan dengan persembahan tarian semangat dari anggota dan pegawai 10 Briged Para dan diikuti kehadiran anjing perang dari Cawangan Serigala, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) yang turut menunjukkan kemahirannya dalam menjejak musuh.
Persembahan malam tadi diceriakan lagi lampu-lampu LED yang digunakan pada senjata M16 Chrome menerusi persembahan kawad senyap oleh Batalion Pertama Rejimen Diraja seterusnya persembahan tempur tanpa senjata oleh anggota tentera dari Divisyen Ke-3 Infantri Malaysia.
Paling mencuri tumpuan dan mendebarkan tentu sekali persembahan demonstrasi serbuan ke kawasan ‘musuh’ dengan penggunaan bahan letupan sebenar serta pergerakan kenderaan yang agresif menerusi aksi dari pasukan 21 Grup Gerak Khas yang menggegarkan kawasan pertunjukan.
Acara kemuncak yang dipertontonkan adalah aksi lagak ngeri (stunt) oleh Army Red Warrior iaitu Akrobatik Motosikal Tentera Darat yang turut mendapat sorakan gemuruh pengunjung.
Lebih menarik, pasukan berkenaan turut mencipta rekod baharu dalam Malaysian Book of Records iaitu Lompatan Motosikal Paling Jauh (Wanita) menerusi Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin dan rekod Most People Riding On A Motorcyle iaitu menerusi 31 orang yang berjaya berada di atas sebuah motosikal yang sedang bergerak.
Turut hadir menyaksikan acara selama dua jam itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Persembahan Tatu Tentera Darat dan Karnival Hari Terbuka Tentera Darat yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam diadakan adalah bersempena dengan Sambutan Hari Tentera Darat Ke-90 pada tahun ini.-UTUSAN.