KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah menerima permohonan daripada peniaga untuk menjual mercun dan bunga api di negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagaimanapun, permit itu akan diluluskan dua minggu sebelum 1 Syawal nanti.
Menurutnya, sehubungan itu, semua ketua-ketua polis daerah telah bersedia untuk proses permohonan permit jualan mercun dan bunga api di negeri ini.
“Kita menjangkakan permohonan jualan kedua-dua barangan itu meningkat pada tahun ini memandangkan rakyat tidak lagi berdepan dengan sekatan seperti ketika pandemik Covid-19.
“Jadi, kita akan lihat tarikh yang sesuai dan kebiasaannya kelulusan permit akan dikeluarkan serentak di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Bubur Lambuk di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini sebentar tadi.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya akan melihat pelbagai aspek terutamanya kriteria pemohon dan kuantiti jualan mercun sebelum memberi kelulusan kepada peniaga.
Katanya, polis Kelantan masih belum membuat sebarang tangkapan kegiatan penyeludupan melibatkan mercun di negeri ini setakat seminggu bulan Ramadan ini.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan di kawasan sempadan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kawalan sempadan sentiasa dijalankan secara berterusan. Saya baru sahaja pulang dari Thailand selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa di sana.
“Ada beberapa perkara dan strategi baharu yang akan kita dilaksanakan untuk mengekang kegiatan jenayah termasuk dadah, senjata, api dan penyeludupan,” katanya.