TEMERLOH: Seorang penoreh getah, Marzuki Yusof, 59, sebak dan bersyukur ke hadrat Allah SWT selepas Mahkamah Tinggi di sini membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 271.2 gram, tiga tahun lalu sekali gus terlepas hukuman gantung sampai mati.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan raya gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.
“Oleh itu, OKT (orang kena tuduh) dibebaskan dari pertuduhan,” ujar Roslan ringkas selepas membaca alasan penghakiman.
Sebelum itu, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 271.2 gram mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di sebuah kebun getah, Kampung Mela, di Kuala Lipis pada 12 Jun 2019, pukul 11 pagi.
Bagi dua pertuduhan lain, tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis monoacetylmorphine seberat 0.18 gram, serta heroin 0.10 gram pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S. Arumugan.
Sementara itu, perbicaraan yang bermula pada 28 September 2021 menampilkan enam orang saksi pendakwaan.
Marzuki ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan kesyukuran selepas mendengar keputusan hakim, dan menganggap ia rahmat pada bulan Ramadan ini.
Jelasnya, Ramadan kali ini cukup bermakna kerana bukan sahaja dapat menyambut bulan mulia ini bersama keluarga malah, dapat membersihkan namanya yang tercalar sebelum ini.
“Saya bersyukur. Tak sangka dapat bersama keluarga sambut Ramadan dan Syawal tahun ini selepas lebih tiga tahun dipenjarakan. Keluarga banyak memberikan sokongan kepada saya dan apa yang berlaku, saya akan jadikan ia satu pengajaran buat diri sendiri,” ujarnya. – UTUSAN