Penolong akauntan Pejabat Kesihatan didakwa rasuah hampir RM10,000 - Utusan Malaysia

Penolong akauntan Pejabat Kesihatan didakwa rasuah hampir RM10,000

MOHD. RAZIS ZAINADIN didakwa atas lima pertuduhan rasuah sebanyak RM9,831.60 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penolong akauntan Pejabat Kesihatan Segamat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas lima pertuduhan rasuah sebanyak RM9,831.60, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Razis Zainadin, 40, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Razis didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan dengan mengemukakan sebut harga kepada syarikat IH Faeq Enterprise dengan tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Sebut harga itu melibatkan kerja bekalan tali bendera tiang dan tali mesin rumput kuning berjumlah RM880, kerja bekalan USB mikro elektro 16GB bernilai RM2,000, kerja bekalan dawai dan bateri berjumlah RM2,101.60.

Sebut harga itu turut termasuk kerja bekalan bateri berjumlah RM1,700 dan bekalan cenderamata pesara berjumlah RM3,150.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat antara 18 September hingga 16 Julai 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM daerah Segamat setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Nur Mahirah Mohd. Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Hanif Hassan.

Ahmad Kamal Arifin menetapkan 16 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya