SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,000 kepada seramai 3,796 orang penjawat awam negeri ini sempena sambutan Aidilfitri akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan berkenaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.796 juta itu akan dibayar pada 14 April depan.
“Bersempena sambutan Aidilfitri, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri seramai 3,796 orang tidak termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan GLC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin dalam pada itu berkata, pemberian bantuan tersebut berikutan kerajaan negeri mencapai pendapatan sebanyak RM532 juta pada tahun 2022.
“Menerusi Belanjawan 2022, kami menganggarkan pendapatan melebihi RM400 juta, apabila kita mencapai RM532 juta ia merupakan pendapatan yang baik dan belanjawan yang sepatutnya defisit RM88 juta bertukar kepada lebihan sebanyak RM31 juta.
“Ini merupakan penghargaan yang diberikan kepada penjawat awam sempena Aidilfitri ini,” katanya.-UTUSAN.