Penganggur, wanita warga Filipina didakwa edar ganja 34 kg

Penganggur, wanita warga Filipina didakwa edar ganja 34 kg

TERTUDUH Sherly Gutterrez (dua kiri) dan Aliuddin Abdul Aziz (belakang) diiringi oleh anggota polis ke Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang penganggur bersama seorang wanita warganegara Filipina dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja atau kanabis seberat 34 kilogram (kg) kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Aliuddin Abdul Aziz, 24, dan Sherly Gutterrez, 46, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis seberat 34 kg.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini kira-kira pukul 6 petang pada 19 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang turut dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Farehah Ramli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 25 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina ditahan selepas dipercayai membawa dadah jenis ganja seberat 35 kg bernilai RM85,000 dalam pemeriksaan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Tanah Putih di sini pada 19 Mac lalu.

Lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Axia dan penumpang wanita berusia 46 tahun itu diberkas kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pemeriksaaan di dalam kereta itu menemui sebanyak 34 bungkusan ketulan mampat daun kering dibungkus dalam kotak kurier di bahagian tempat duduk penumpang belakang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya