Penempatan haram PATI berhampiran Bandar Ainsdale diserbu - Utusan Malaysia

Penempatan haram PATI berhampiran Bandar Ainsdale diserbu

KAWASAN penempatan haram warga asing yang terletak berhampiran Bandar Ainsdale, Seremban yang diserbu dalam satu operasi bersepadu awal pagi tadi.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah lagi penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Negeri Sembilan diserbu dalam operasi bersepadu di sebuah kawasan berhampiran Bandar Ainsdale di sini awal pagi tadi.

Dalam serbuan pukul 1 pagi di kawasan berbukit berkeluasan kira-kira dua padang bola sepak itu berjaya menahan 32 orang PATI yang terdiri daripada 16 orang lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, perkampungan warga asing itu terletak di kawasan permukaan yang tidak rata dan pasukan operasi terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh satu kilometer sebelum tiba di lokasi.

Menurut Kennith, dalam operasi pada pukul 1 pagi tadi, seramai 47 orang warganegara asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 32 orang telah ditahan.

“Seramai 47 orang warganegara asing telah diperiksa dan 32 orang telah ditahan terdiri daripada 16 lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia antara satu tahun hingga 61 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut sejak beberapa tahun lalu bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Kennith, semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa PATI yang cuba meloloskan diri daripada ditahan, namun tidak berhasil.

Beliau berkata, penempatan haram itu digempur hasil aduan dan maklumat orang awam serta tindakan risikan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia selama dua minggu.

“Pasukan operasi juga menemui kawasan yang didirikan khemah-khemah di dalam hutan berhampiran yang dijadikan tempat persembunyian PATI.

 “Penempatan ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata yang mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat,” katanya. 

Kennith berkata, mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihak Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan sedang mengenal pasti sama ada penempatan itu didirikan di atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram.

“Pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan untuk tujuan perobohan jika didapati penempatan ini berada atas tanah milik kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pada 1 Februari lalu, sebuah penempatan haram yang terletak sejauh 1.2 kilometer dari jalan utama dan mempunyai kemudahan sekolah dikesan dibina PATI di Nilai Spring, Nilai, di sini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya