CAMERON HIGHLANDS: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di sini berjaya menyelamatkan seorang wanita warga asing yang cedera ketika melakukan pendakian Gunung Jasa di sini kira-kira pukul 12.17 tengah hari, hari ini.
Komander operasi dari BBP Cameron Highlands, Muhammad Fadeli Abu Sirin berkata, setelah menerima panggilan kecemasan, seramai 10 anggota bomba dari balai tersebut bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Setiba di tempat kejadian, anggota mengesahkan mangsa seorang wanita merupakan warganegara British mengalami kecederaan di kaki dan memerlukan rawatan segera, manakala seorang lagi rakannya seorang wanita selamat.
“Anggota bomba melakukan penugasan menyelamat dengan membawa turun mangsa dari gunung tersebut dengan menggunakan alat pengusung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Fadeli berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk rawatan selanjutnya. – UTUSAN