Penagih ragut beg tangan warga emas diberkas

Penagih ragut beg tangan warga emas diberkas

polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penagih dadah dicekup manakala rakannya sempat melarikan diri selepas mereka meragut beg milik seorang warga emas sehingga cedera di Jalan Padang Kelochor, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa yang berusia 62 tahun mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika kedua-dua suspek meragut beg kain yang dipegangnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati warga emas lelaki itu sedang  menutup kedainya di kawasan tersebut sebelum didatangi dua lelaki terbabit.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya meragut beg kain yang dipegang mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikalnya.

“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki suspek dipercayai hilang kawalan ketika berselisih dengan kenderaan lain sebelum terjatuh di kawasan berkenaan.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian terus menangkap seorang suspek yang berusia 34 tahun manakala rakannya sempat melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, warga emas itu yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai empat rekod jenayah berkait kes narkotik.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang giat menjalankan usaha untuk memburu seorang lagi suspek yang masih bebas,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya