KOTA BHARU: Pas mengingatkan pemimpinnya supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak mencetuskan kerisauan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob berkata, hal ini kerana parti itu menjadikan Islam sebagai asas pembangunan ummah.
“Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat dari berbilang bangsa dan agama, kita mahu lihat suasana baik dan harmoni wujud di Malaysia. Negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang meraikan apa-apa sahaja pandangan daripada mana-mana parti politik demi kebaikan dan kesejahteraan ummah.
“Maka ahli-ahli, kepimpinan dan wakil-wakil rakyat tidak kira daripada mana-mana parti perlu lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) di sini hari ini.-UTUSAN