KUANTAN: Gara-gara terpedaya dengan tawaran kerja sampingan secara dalam talian, seorang pembantu guru menjadi mangsa sindiket penipuan hingga mengalami kerugian RM30,483.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 29 tahun dan berasal dari Bentong di sini mendakwa dihubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menawarkan kerja sampingan dengan melakukan ulasan berkaitan tempat menarik serta restoran.
“Suspek memberitahu setiap ulasan dibuat mangsa akan diberikan upah dalam bentuk komisen. Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya melakukan empat kali pemindahan wang ke empat akaun berbeza diberikan suspek.
“Selepas semua pindahan wang dilakukan, akhirnya mangsa menyedari dirinya tertipu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ramli berkata, dalam urusan pemindahan wang tersebut, mangsa menggunakan wang simpanannya sendiri.
“Mangsa sudah pun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Saya menasihatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kegiatan sindiket penipuan ini,” katanya. – UTUSAN