KLUANG: Golongan pemandu teksi mendakwa seperti peminta sedekah apabila hanya mampu memperoleh pendapatan kurang RM50 sehari.
Keadaan ini berlaku apabila terpaksa bersaing beberapa sistem pengangkutan baharu, e-hailing di samping penyediaan perkhidmatan bas percuma dan yang paling teruk daripada ‘private sapu’ atau teksi haram.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang, Mustakim Jalil berkata, kira-kira 220 ahli persatuan itu boleh dikatakan memperoleh pendapatan kais pagi makan pagi setiap kali turun bekerja mencari penumpang.
Walaupun pihaknya meningkatkan sistem perkhidmatan dengan menerima panggilan daripada penumpang di sekitar bandar Kluang, namun tidak mampu meraih pendapatan lumayan seperti sebelum tahun 2020.
“Ada pemandu teksi hanya memperoleh kira-kira RM20 untuk bekerja separuh hari dan jumlah itu belum ditolak kos minyak. Keadaan ini menyebabkan ramai pemandu teksi terpaksa membuat dua pekerjaan walaupun sebahagian daripada mereka sudah berusia lebih setengah abad,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang di Balai Raya Kampung Melayu di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Penghulu Kanan Kluang, Mohd. Nor Azmi Md. Anuar.
Mustakim turut mengakui terkilan apabila persatuan pemandu teksi di seluruh negara tidak menerima apa-apa manfaat daripada Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Jika sebelum ini, setiap pembentangan belanjawan pasti akan menerima tempias atau bantuan daripada kerajaan pusat walaupun sedikit.
“Oleh yang demikian, kami amat berharap agar kerajaan dapat menyelami kepayahan golongan pemandu teksi pada masa ini, bukan hanya terpaksa berhadapan kos sara hidup semakin tinggi, malah turut menghadapi masalah kekurangan penumpang,” katanya. – UTUSAN