TANAH MERAH: Seorang pemandu dan petugas kantin mengalami sesak nafas selepas bahagian enjin kereta api yang membawa 396 penumpang terbakar dekat Tasek Taman Kiara di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, kereta api berkenaan dalam perjalanan dari Tumpat menghala ke Johor Bahru.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah Penolong Penguasa Bomba Nurul Alfisyahrin Mohd. Zaki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.36 malam.
Menurutnya, seramai 14 anggota dari BBP Tanah Merah dan Machang telah dihantar ke lokasi untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat bersama dua jentera.
“Sejurus tiba di lokasi, bomba mendapati bahagian kepala kereta api yang menempatkan enjin sudah 90 peratus terbakar.
“Semasa kejadian hanya pemandu dan petugas kantin yang mengelami sesak nafas manakala, 396 orang penumpang selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Alfisyahrin memberitahu, kebakaran tersebut dapat dikawal pada pukul 11.00 malam.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.01 pagi.-UTUSAN