JOHOR BAHRU: Seorang pelukis pelan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan memuat naik kenyataan berserta gambar jelik dipercayai menghina agama Islam, tahun lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Firdaus Embong, 39, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan akaun Facebook bernama ‘Firdaus Embong’ dan secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi berbentuk gambar dan teks bersifat jelik bertujuan menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebanyak empat kali antara 17 Mac 2022 hingga 18 Ogos 2022, dengan kenyataan tersebut telah dilihat di sebuah bank di Kulai pada 14 September 2022.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fazril Sani Mohamed Fadzil yang dibantu Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM40,000 atas semua kesalahan tersebut.
Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jumlah itu dikurangkan menjadi RM10,000 dan mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.
Che Wan Zaidi turut menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN