Negeri Sembilan puas hati menang dalam perlawanan sengit - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan puas hati menang dalam perlawanan sengit

PASUKAN hoki wanita Negeri Sembilan meraikan kejayaan menumpaskan KPT-Uniten Thunder 2-1 sekaligus merangkul piala Liga Hoki Malaysia TNB di Stadium Hoki MBS S2 di Seremban semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keupayaan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan memenangi Liga Hoki Malaysia (MHL) TNB 2023 sekali gus mempertahankan kejuaraan tahun lalu disifatkan sebagai kejayaan yang manis.

Jurulatih pasukan itu, K. Rajan berkata, kejayaan menumpaskan pasukan KPT-Uniten Thunder (KPT) dalam perlawanan terakhir semalam begitu bermakna apatah lagi pasukan lawan juga berpeluang untuk menjuarai kejohanan.

Jelas beliau, KPT hanya memerlukan keputusan seri berbanding Negeri Sembilan yang perlu menang dan aksi perlawanan semalam berlangsung sengit dan kedua-dua pasukan menampilkan aksi hebat.

“Kami berpuas hati dengan kemenangan hari ini (semalam) yang dicapai dalam perlawanan yang sengit dan mendebarkan para penyokong kedua-dua pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan tersebut di Stadium Hoki MBS S2 di Seremban 2 di sini semalam.

Dalam perlawanan itu, Negeri Sembilan menumpaskan KPT dengan jaringan 2-1.

Gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Fatin Naimah Zaki pada minit ke-3 sebelum KPT menyamakan kedudukan melalui Nur Zafirah Aziz pada minit ke-8.

Pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan lebih 500 penonton menoktahkan gelaran juara liga melalui gol penyerang kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-42.

JURULATIH Negeri Sembilan, K. Rajan ketika ditemui selepas aksi bertemu KPT-Uniten di Stadium Hoki MBS S2 di Seremban semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.

Rajan memberitahu, tanpa kelibat seorang lagi penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn yang belum pulih daripada kecederaan, semua pemain telah menunjukkan aksi yang cemerlang dalam perlawanan itu.

“Pujian juga harus ditujukan kepada penjaga gol, Mashitah Ab. Khalid yang menyelamatkan beberapa percubaan lawan sama seperti aksi beliau pada perlawanan Piala Sumbangsih tempohari,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, sasaran Negeri Sembilan untuk meraih juara Piala Sumbangsih dan Piala Liga sudah tercapai dan tumpuan kini terarah kepada saingan Piala Vivian May Soars yang bermula esok (Selasa).

“Kami ada peluang, pasukan lain juga ada peluang. Sudah pasti kami akan menampilkan saingan yang sengit untuk merebut piala ini,” katanya.

Sementara itu, Nuramirah yang juga penjaring gol terbanyak liga dengan 16 gol dan penjaring gol pertama, Fatin Naimah mengucapkan syukur kerana berjaya membantu pasukan Negeri Sembilan mempertahankan status sebagai juara liga MHL tahun ini.  

Mereka berkata, rakan-rakan telah menunjukkan kerjasama berpasukan yang kukuh hingga berjaya memenangi perlawanan yang penting itu.

“Sokongan padu para penyokong yang tidak berganjak walaupun hujan pada suku ketiga juga membantu kami tetap kekal fokus memenangi perlawanan ini,” kata mereka.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya