Nama Chew Kin Wah digugurkan dari drama rantaian

Nama Chew Kin Wah digugurkan dari drama rantaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon berpengalaman, Chew Kin Wah, 57, meluahkan kekesalan apabila namanya terpaksa digugurkan daripada menjayakan sebuah drama rantaian baharu di stesen televisyen swasta atas alasan dirinya beragama Islam. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, pihak produksi terpaksa mengambil keputusan tersebut selepas terdapat adegan yang memerlukan watak itu melakukan pemujaan di tokong dan mengikut garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF). 

Sedangkan, jelas pelakon filem Cek Toko Sebelah ini, dia sudah memainkan watak sedemikian sejak sekian lama termasuk di RTM, apatah lagi dirinya memang seorang pelakon berketurunan Cina. 

“Saya nak main watak apa kalau bukan orang Cina? Takkan nak jadi orang Melayu pula. Kalau orang Cina di Malaysia kebanyakan beragama Buddha, akan ada adegan pergi tokong. Sudah beberapa tahun saya jayakan adegan seperti itu.  

“Pokok pangkalnya kita hanyalah berlakon dalam industri kreatif ini. Kalau lakonan pun tidak boleh, saya tak tahu nak cakapa apa lagi,” katanya. 

Garis Panduan LPF pada 2010 antaranya melarang orang Islam memegang peranan sebagai sami, paderi, biarawati serta melakukan ibadah di kuil, gereja dan sebagainya. 

Peraturan itu juga melarang orang Islam berlakon babak meminum arak, berjudi, melakukan maksiat kecuali bertujuan mengisahkan penghijrahan daripada kejahatan kepada kebaikan.  

Mengulas lanjut, Kin Wah atau nama Islamnya, Anuar Abdullah berkata, pihak produksi boleh sahaja mengolah adegan tertentu seperti aktiviti pemujaan selari dengan garis panduan LPF.  

“Misalnya kamera hanya tunjuk saya masuk dan keluar dari tokong. Adakah kita perlu mengikut teknik lakonan (method acting) kalau mati mesti kena mati?

“Saya harap LPF dapat mengubah suai sebarang perubahan atau membaiki garis panduan setiap tahun supaya dilihat adil kepada semua pelakon,” jelasnya. 

Kin Wah yang menembusi pasaran Indonesia sejak 2015 berkata, isu itu menyebabkan ramai produksi dari negara seberang yang mempelawa dirinya berlakon sepenuh masa kerana namanya sangat dikenali di negara itu. 

“Isu ini sangat menghancurkan hati saya. Jadi, saya tinggal di Malaysia nak berlakon watak apa lagi? 

“Produksi di Indonesia sudah mengajak saya teruskan kerjaya lakonan di sana sepenuhnya. Ada yang mesej saya secara peribadi selepas mengetahui isu tersebut,” katanya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya