MDGM tangkap lembu berkeliaran di lokasi kerap kemalangan di Gua Musang

MDGM tangkap lembu berkeliaran di lokasi kerap kemalangan di Gua Musang

ANGGOTA MDGM menangkap lembu yang bebas berkeliaran di Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan, semalam-UTUSAN/IHSAN MDGM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menangkap tiga ekor lembu yang berkeliaran di laluan kerap berlaku kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku 3 di sini, semalam.

Penolong Setiausaha MDGM, W. Mohd. Afiq W. Alias berkata, ketiga-tiga ekor lembu itu ditangkap dalam operasi yang bermula pada pukul 11 pagi sehingga 4 petang.

Menurutnya, seramai 16 anggota penguat kuasa MDGM digerakkan ke lokasi yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan untuk menjejak haiwan terbabit.

“Selepas menjalankan pemantauan, anggota MDGM berjaya menangkap dua ekor lembu jantan dan seekor lembu betina berhampiran simpang Felda Chiku 3.

“Dalam operasi itu, tiga ekor lembu yang tidak ditambat oleh tuannya ditangkap kerana didapati berkeliaran di tempat awam. Pemilik boleh membuat penebusan haiwan ini mengikut prosedur tuntutan semula seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Mohd. Afiq memberitahu, semua pemilik haiwan ternakan diingatkan supaya memastikan haiwan ternakan mereka dipelihara dengan baik selain tidak dibiarkan merayau sehingga menimbulkan gangguan dan mengancam keselamatan awam.

Katanya, operasi itu akan diadakan secara berjadual memandangkan terdapat banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan rayau  di Gua Musang sejak awal tahun ini.

“Kami berharap pemilik haiwan ternakan terutamanya lembu tidak lepas tangan dan mengawal ternakan supaya tidak berkeliaran di sepanjang jalan raya utama ketika musim bulan Ramadan ini.

“MDGM akan melakukan operasi dari masa ke semasa bersama pihak polis dan Jabatan Veterinar,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya