BACHOK: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan cedera pada bahagian telinga dan hidungnya di sebatang anak sungai di Kampung Kandis di sini hari ini.
Mangsa, Mohamad Khairol Razai, 21, dijumpai terapung dalam keadaan tertiarap dengan bajunya koyak rabak di sungai berkenaan kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Ibu mangsa, Noraini Awang, 52, berkata, mayat anaknya itu ditemui di dalam sungai itu oleh penduduk kampung yang melihat Mohamad Khairol terapung.
Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak sulongnya yang datang ke rumah dalam keadaan cemas.
“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah dan mendapati Mohamad Khairol sudah tidak bernyawa di atas darat. Bajunya koyak dan dipenuhi lumpur.
“Paling menyedihkan saya, ada kesan darah keluar dari telinga dan hidungnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Noraini memberitahu, dia sudah membuat laporan polis berhubung kes itu dan berharap siasatan lanjut dapat dilakukan untuk mengenal pasti motif dan punca kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu di Sungai Kandis.-UTUSAN