Malaysia terus jadi transit seludup tenggiling - Utusan Malaysia

Malaysia terus jadi transit seludup tenggiling

ABDUL KADIR Abu Hashim (tengah) menunjukkan tanduk rusa manakala Acryl Sani (kanan) memegang tulang anak harimau sisik yang dirampas dari pemburu haram selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Malaysia terus menjadi transit sindiket penyeludupan hidupan liar secara haram antaranya tenggiling yang dibawa dari Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, sindiket penyeludupan didalangi warga tempatan yang menyimpan tenggiling untuk tempoh tertentu sebelum dihantar ke negara pembeli.

“Biasanya tenggiling ini dibawa dari Indonesia dan sindiket penyeludupan menjadikan Malaysia transit sebelum dihantar ke Thailand dan China.

“Penyeludupan turut membabitkan gading gajah dihantar ke Vietnam dan Thailand manakala burung jenis murai batu mempunyai pasaran di Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Negara Kuala Tahan di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Kadir bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Zazuli Johan menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Taman Negara.

Sejak pelaksanaan OKB bermula 2019 hingga 2022, sebanyak 291 kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan 477 pesalah, terdiri daripada 353 warga tempatan manakala bakinya warga asing dan 1,875 jerat hidupan liar dimusnahkan, dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan RM224.08 juta.

Untuk tahun ini, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan 30 pesalah rakyat tempatan dan seorang warga asing atas pelbagai kesalahan dengan jumlah sitaan RM6.4 juta.

Abdul Kadir dalam pada itu turut mengakui terdapat sindiket pemburuan hidupan liar mengeksploit masyarakat Orang Asli di negara ini.

Beliau dalam pada itu berkata, Perhilitan giat bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan haiwan yang diancam kepupusan akibat pemburuan haram seperti harimau malaya.

“Sesi penerangan juga digiatkan membabitkan komuniti Orang Asli untuk menghebahkan kepentingan konservasi dan membantu mewujudkan unit rondaan komuniti.

“Perhilitan juga menubuhkan Renjer Komuniti terdiri daripada 1,000 pesara tentera, penjawat beruniform dan Orang Asli sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa serta menghalang kegiatan membunuh dan menyeludup hidupan liar untuk dijual ke negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, Acryl Sani memaklumkan, pihaknya merampas 1,010 senjata api dan membatalkan lesen pemilik senjata api terbabit kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan hidupan liar.

“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan dan melalui OBK ini juga kita percaya aktiviti penyeludupan haram dapat dibanteras,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya