KOTA TINGGI: Seorang lelaki terselamat apabila Proton Saga dipandu dihempap pokok tumbang di Jalan Kota Tinggi Ulu Tiram berhampiran Pulada, di sini malam ini.
Dalam kejadian pukul 7.15 malam itu kenderaan milik, mangsa Mohd. Shafiq Ahmad, 27, telah mengalami kerosakan di bahagian enjin dan kedua-dua pintu.
Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas menyebabkannya tidak sempat untuk memberhentikan kenderaan.
“Saya bawa kereta tidak laju kerana hujan renyai, ada beberapa kenderaan di hadapan saya yang sempat mengelak dan saya terpaksa brek kecemasan sebelum kereta dihempap.
“Saya juga terpaksa keluar dari pintu penumpang sebab pintu tempat pemandu terhalang oleh pokok. Namun, saya bersyukur kerana selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya di lokasi kejadian.
Kejadian yang berlaku ketika hujan renyai itu menyebabkan kesesakan jalan raya hampir empat kilometer berikutan pokok tersebut menghalang laluan.
Pihak konsesi dilihat mengambil tindakan yang cepat dan tiba di lokasi kejadian setengah jam kemudian untuk memotong pokok berkenaan dan membersihkan jalan.
Pengguna jalan raya yang terkandas turut sama membantu membersihkan serpihan pokok tumbang tersebut. – UTUSAN