MERSING: Seorang lelaki warga Singapura maut apabila van dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 20,Jalan Mersing-Jemaluang, hari ini.
Mangsa, Megat Omar Ismail, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi yang menaiki kenderaan sama, Md. Shash Mohd. Said, 60, warga tempatan mengalami kecederaan parah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian terus ke balai pada pukul 11.53 pagi.
Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan seramai sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah van jenis Nissan dan sebuah lori Hino 10 tan. Terdapat dua mangsa tersepit di dalam van dan pemandu
lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas dengan salah seorang mangsa tersepit meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kedua yang cedera parah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Mersing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 12.55 tengah hari. -UTUSAN