SEREMBAN: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan parkir berhadapan sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian dari orang awam pada pukul 7.31 malam.
“Laporan awal diperoleh terdapat seorang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri berada dalam keadaan rebah di kerusi pemandu hadapan.
“Kenderaan tersebut dalam keadaan pintu berkunci dengan enjin masih berfungsi. Tindakan kami adalah dengan membuka kereta berkenaan dan anggota bomba yang lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) mengangkat mayat mangsa keluar.
“Petugas Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan kematian lelaki tersebut. Mangsa dipercayai sudah berada lebih dua hari di dalam kereta itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam ini.
Jelas beliau, pihaknya telah menyerahkan mayat kepada pihak Kementerian Kesihatan dan pihak polis untuk siasatan dan tindan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 9.05 malam.-UTUSAN.